Friday, October 26, 2007

Puisi: Tentang Anak Kecil

(Buat ayahanda tercinta menjelang 13 tahun pemergiannya, pada 19 Oktober 2007)

13 tahun lalu,
seorang anak kecil yang kau tinggalkan,
meratap sayu pada tanah yang masih merah.

Dia belum mengerti akan wewarna takdir,
belum tahu akan penghujung sebuah kehidupan,
juga belum kenal erti ketabahan,
Dia hanyalah anak kecil yang belum mengerti apa-apa.

Baginya,
kau pergi tak akan lama,
kau pasti akan pulang,
dia menanti,
dia setia menunggu,
tanpa jemu.

Terkilankah kau,
sedekad pusaramu sepi,
tiada lagi tapak kaki si anak kecil,
berjejak di tanah yang dahulunya merah itu?

Ke manakah dia?
Lupakah dia padamu?

Tidak!
Anak kecil itu tidak pernah lupa,
doanya ada,
meski kakinya tidak lagi berjejak ke pusaramu.

Dia hilang hanya seketika,
mengubati rajuk pada takdir,
membebat luka di sukma,
mencari diri sendiri,
membina sebuah kehidupan
yang cerah penghujungnya.

Dia berjanji akan kembali,
setelah mampu berdiri,
tanpa perlu bertongkat lagi.

Syawal ini,
nantikan dia ke persinggahan abadimu,
dia ‘kan bertamu seperti yang dijanji,
sudah tiada lagi rajuk di hati,
kerana kini dia mengerti,
kau tak akan pulang,
meski dia menanti seribu tahun lagi.

Anak kecil itu sudah tidak kecil lagi,
dia sudah punya kekuatan,
yang dikutip-kutip
daripada serpihan kenangan yang kau tinggalkan.

Dan, kini dia kembali,
meneruskan perjuanganmu
yang sekian lama tertunda.

Kunak
2 Oktober 2007

(Nota sisipan: Alhamdulillah, aku telah berjaya menyempurnakan janji)

4 comments:

Puteri Ezza said...

2 hari selepas tarikh 19 Oktober pula, iaitu 21 Oktober 2007, merupakan tarikh genap dua tahun pemergian ayahanda teman saya (Dr. Rem) ke rahmatullah, iaitu allahyarham Dambul Dumaring. Semoga roh allahyarham ayah saya, ayahnya dan seluruh umat Islam yang terlebih dahulu meninggalkan kita semua, ditempatkan dalam kalangan umat yang beriman. Aminnnn...

Anonymous said...

salam,

saya temui sebuah kata hikmah yang membuat saya sering termenung.

Cinta itu sebuah perjuangan,
Cinta tak pernah datang ,
Dengan cara murah turun dari langit,
Semuanya harus kita perjuangkan,

Sering kali cinta itu baru mekar,
Setelah kita lalui bermacam rintangan,
Derita bukan musuhnya cinta,
Derita itu sedang membuat cinta menjadi lebih dewasa.

Taufik Al Mubarak said...

puisi yg bagus...
kunjungi juga ke blog aku...
http://jumpueng.blogspot.com

NONG said...

Hai Puteri Ezza..
Saya ni Justina Tuyundo. Bukan Justina Thomas.. kerana nama kita bertemu..Nice to meet u..

Salam setikawan