Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk Kampung Seri Mega. Persiapan haruslah sempurna. Paling tidak, hampir sempurna. Mereka akan menyambut kedatangan Datuk Hairi Syaiful Baqri, wakil rakyat muda yang menjadi kebanggaan seluruh penduduk kampung itu. Ramai anak gadis memasang impian, kalaulah mereka diperisterikan oleh Datuk Hairi yang masih bujang dan tampan itu. Paling istimewa, Datuk Hairi terkenal sebagai seorang yang berbudi bahasa tinggi dan pernah bergelar qari di Negeri Mayang Sari, sebelum bergelar wakil rakyat.
“Sudah siap semuanya?” Kedengaran suara penghulu di celah-celah keriuhan penduduk kampung yang membuat persiapan.
“Alhamdulillah Pak Aji, semuanya selesai. Pukul berapa Datuk Hairi akan sampai, Ji?” Yasir, Pengerusi Belia Seri Mega berlari-lari anak menghampiri Haji Latip, penghulu yang disegani itu.
“Kalau ya pun, janganlah berlari-lari, Sir. Tersungkur nanti. Lebih kurang setengah jam lagi mereka tiba. Unit PKR akan menghubungi kita kalau mereka sudah berada di simpang,” jawab penghulu sambil memandang Yasir yang termengah-mengah. Barangkali badannya yang sedikit gempal membuatkan dia mudah mengah.
Yasir hanya tersengih mendengar kata penghulu. Sambil itu, dia mengesat peluhnya. Cuaca pada hari itu sungguh panas. Langit kelihatan cerah seolah merestui majlis. Mudah-mudahan langit akan terus begitu sehingga majlis berakhir. Yasir berdoa dalam hati.
Kelihatan kereta rasmi Stesen Televisyen Prima berhenti di hadapan pagar utama Masjid Hadhari. Turun seorang gadis ayu bertudung bersama seorang pemuda yang membawa kamera video. Mungkin mereka ditugaskan membuat liputan Majlis Perasmian Masjid Hadhari itu. Akan terkenallah Kampung Seri Mega buat seketika. Makcik-makcik sibuk membetulkan tudung. Hendak masuk televsiyen harus kelihatan cantik. Pakcik-pakcik tidak ketinggalan membetulkan kopiah dan songkok. Yasir tersenyum melihat gelagat mereka.
Ailisya Fateha. Yasir terbaca nama pada kad akhbar gadis bertudung itu semasa melintas di hadapannya. “Oh, inilah dia wartawan Prima yang terkenal tu. Baru-baru ini dia menang anugerah Wartawan Penyiaran Terbaik,” Yasir berkata kepada rakan yang berdiri hampir dengannya.
Beberapa orang wartawan lagi kelihatan menyusul selepas itu. Mungkin wartawan akhbar, kerana mereka tidak membawa kamera video bersama.
“Semua bersedia. Datuk dalam perjalanan ke sini. Sekarang mereka di simpang,” penghulu mengarahkan semua bersedia.
Sebaik sahaja Datuk Hairi sampai dan turun dari kenderaannya, kompang dipalu menambahkan lagi kemeriahan. Sepanjang menuju ke khemah, Datuk Hairi mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan para penduduk Seri Mega. Senyuman sentiasa terukir pada wajahnya. Dia mengelap peluh sebaik duduk di kerusi yang disediakan.
Upacara perasmian tidak memakan masa yang lama. Usai berucap, Datuk Hairi membuka tirai perasmian pada dinding masjid. Dia tersenyum puas memandang masjid yang penuh bererti buat dirinya. Kos pembinaan masjid ditanggung penuh olehnya. Duit simpanannya sendiri. Bukan menggunakan peruntukan kerajaan. Pelan masjid juga dia yang hasilkan. Kemahiran melukis pelan tidak dipersia. Dia graduan seni bina. Namun, tidak ada sesiapa pun yang tahu akan hal itu. Baginya, perkara yang baik tidak semestinya dihebahkan. Cukuplah hanya Allah yang tahu.
Semasa jamuan, penghulu cuba bergurau dengan Datuk Hairi. “Datuk, masjid di kampung ini sudah didirikan. Datuk bila lagi mahu bina masjid sendiri?”
“Di rumah pakcik ada dua kuntum bunga yang belum disunting,” seorang ahli jawatankuasa kampung mencelah dan disahut dengan gelak tawa yang lain.
Datuk Hairi hanya tersenyum. Dia langsung tidak ambil hati. Dia sudah lali dengan pertanyaan-pertanyaan sebegitu.
“Belum sampai seru lagi, Pak Aji. Tak ada yang sudi dengan bujang trang tang tang seperti saya ini,” Datuk Hairi menjawab dengan nada gurauan juga. Sempat dia mengerling ke meja para wartawan. Matanya bertemu dengan mata Ailisya. Ailisya cepat-cepat tunduk.
“Assalamualaikum Datuk. Maafkan saya jika mengganggu. Saya Ailisya dari Stesen Televisyen Prima. Boleh saya temu ramah Datuk sebentar?” Ailisya memberanikan diri menghampiri Datuk Hairi selepas makan.
“Sudah tentu,” jawab Datuk Hairi. Dia senyum lagi. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir pemuda tampan berjiwa besar itu.
Penghulu dan jawatankuasa kampung yang lain memberi ruang kepada Ailisya untuk menemubual Datuk Hairi. Sebaik terlihat Ailisya menemuramah, wartawan-wartawan lain turut mengambil peluang melakukan hal yang sama.
Datuk Hairi mohon izin untuk beredar selepas ditemuramah. Dia bersalam-salaman sekali lagi dengan penduduk-penduduk kampung. Semasa menuju ke kenderaannya, tiba-tiba seekor kucing berkejar-kejaran dengan seekor ayam. Kedua-dua haiwan itu hampir melanggar kakinya. Dia menapak selangkah ke belakang. Dia tidak meyedari Ailisya berada begitu hampir di belakangnya. Dia melanggar Ailisya tanpa disengajakan. Ketika itu Ailisya sedang menjawab panggilan telefon. Telefon Ailisya terjatuh, lalu berkecai.
Ailisya terkejut. Telefon itu baru sebulan dibelinya. Dia seakan ingin menangis, tetapi berusaha mengawalnya.
“Maafkan saya, cik. Saya tidak sengaja. Nanti saya ganti telefon cik,” Datuk Hairi menjawab dengan perasaan bersalah. Penduduk-penduduk kampung yang ada di situ hanya memandang dengan bisu. Tiada sesiapa yang berani bersuara.
“Tak mengapalah, Datuk. Saya tahu Datuk tak sengaja.” Ailisya berusaha senyum walaupun hatinya bengkak.
“Saya akan gantikan telefon ini.” Datuk Hairi mengulang kata-katanya sambil membantu Ailisya mengutip telefon yang berkecai itu. Telefon ini kelihatan baru. Datuk Hairi berbicara di dalam hati. Dia mengambil sebahagian telefon yang berkecai dari tangan Ailisya sambil berkata, “Esok saya akan hubungi cik. Sebelum itu, maafkan saya sekali lagi.”
Ailisya menjawab dengan senyuman. Sebuah jawapan tanpa kata yang menunjukkan dia menerima maaf Datuk Hairi. Ailisya mengangguk.
Mereka beredar dan masuk ke kenderaan masing-masing.
Datuk Hairi dihantui perasaan bersalah yang tidak berpenghujung. Namun dia yakin, pasti ada hikmah di sebalik kejadian itu.
Sementara itu, di Villa Ixora, Tan Sri Borhan, seorang ahli perniagaan yang terkenal di Negeri Mayang Sari, berbincang-bincang dengan isterinya, Puan Sri Murni, tentang majlis persandingan anak gadis mereka dengan Datuk Hairi. Mereka telah ditunangkan tanpa menanti akan persetujuan kedua-keduanya. Tan Sri Borhan telah datang sendiri menemui keluarga Datuk Hairi, menawarkan anak gadisnya bernama Melinda untuk diperisteri oleh wakil rakyat itu. Entah jampi serapah apa yang digunakannya, keluarga Datuk Hairi menurut tanpa sebarang bantahan. Mungkin mereka gusar dengan usia Datuk Hairi yang sudah mencecah 39 tahun, tetapi belum berumahtangga. Dua hari selepas itu, keluarga Datuk Hairi menghantar rombongan peminangan ke rumah Tan Sri Borhan. Segalanya serba sederhana.
Rombongan peminangan itu sekaligus turut menetapkan tarikh pernikahan dan persandingan. Apabila dikira daripada tarikh peminangan itu, majlis perkahwinan akan berlangsung lebih kurang satu minggu lagi. Ya, satu minggu lagi. Cukup singkat. Datuk Hairi dan Melinda sudah tidak berkuasa untuk membantah. Semua persiapan keluarga yang atur.
Datuk Hairi tenang kerana belum mempunyai teman wanita semasa ditunangkan. Melindalah yang paling kecewa. Dia sudah punya teman lelaki. Sudah enam tahun mereka berkasih. Semasa menuntut di New Zealand lagi. Saban malam dia menangis mengenangkan nasib. Bukan kerana Datuk Hairi tidak layak memperisterikannya. Tetapi kerana dia tidak mencintai Datuk Hairi, walaupun dia pasti akan bahagia apabila berkahwin dengan pemuda tampan itu nanti. Masalahnya… “Arghhhhhhh!” Melinda melepaskan perasaan yang terbuku pada laut. Berketul-ketul batu dilemparnya ke dada laut yang tidak mengerti apa-apa itu.
Sementara itu, di dalam kereta Mercedez Benz kesayangan, Datuk Hairi membelek-belek telefon bimbit yang baru dibeli. Sebagai pengganti kepada telefon bimbit Ailisya yang berkecai kerana peristiwa di Kampung Seri Mega kelmarin. Di tempat duduk bersebelahannya pula ada sejambak bunga mawar merah. Khas buat Ailisya. Terdapat sampul kuning keemasan juga. Sampul kuning keemasan ini merupakan kad jemputan ke majlis perkahwinannya dengan Melinda.
Datuk Hairi mengarahkan pemandu menuju ke Stesen Televisyen Prima. Dia ingin bertemu Ailisya.
“Ya encik, boleh saya bantu? Eh, Datuk Hairi?” Penyambut tetamu seakan kebingungan. Dia tidak pasti sama ada di hadapannya itu Datuk Hairi atau bukan. Matanya tidak berkelip melihat wajah tampan di hadapannya itu.
“Ya, saya Datuk Hairi,” jawab Datuk Hairi sambil tersenyum. “Boleh saya bertemu dengan Cik Ailisya?”
Penyambut tetamu itu mengiringi Datuk Hairi ke bilik tetamu. Dia mempersilakan Datuk Hairi duduk. “Datuk tunggu sebentar ya. Saya akan panggil Ailisya.”
“Assalamualaikum Datuk.” Ailisya masuk ke bilik tetamu dan menyapa Datuk Hairi dengan sopan.
Datuk Hairi menjawab salam Ailisya. Setelah berbicara beberapa ketika, Datuk Hairi menyerahkan telefon bimbit baru dan sejambak bunga mawar kepada Ailisya. Ailisya terharu. Dia mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hairi. Ternyata Datuk Hairi baik orangnya. Dia terpandang kepada sampul kuning keemasan itu.
“Sampul itu untuk saya jugakah, Datuk?” Kelihatan nama Ailisya pada sampul itu.
“Saya tidak tahu sama ada saya wajar memberikannya ataupun tidak,” Datuk Hairi keberatan memberikan sampul itu kepada Ailisya. Namun, tidak lama kemudian, dia serahkan juga sampul itu kepada Ailisya.
“Saya perlu beredar sekarang. Sebentar lagi saya ada mesyuarat. Ini nombor telefon bimbit peribadi saya. Cik boleh hubungi saya pada bila-bila masa,” Datuk Hairi bergegas keluar, seolah-olah bimbang disoal sesuatu oleh wartawan ayu itu.
Ailisya tidak berpeluang membuka sampul itu sehinggalah tiba di rumah. Malam, sebelum beradu, Ailisya membuka sampul kuning keemasan pemberian Datuk Hairi. Dia membaca perlahan. “Ya qadzial hajat. Datuk Hairi Syaiful Baqri dan Melinda Tan Sri Borhan. 9 September 2007. Grand Ballroom Pan Pasific Mayang Sari. 7.30 malam. Oh, majlis perkahwinan Datuk Hairi rupa-rupanya! Bijak dia menyembunyikan pertunangannya daripada wartawan.” Ailisya tersenyum sendiri.
Malam masih muda. Baru pukul 9.30. Rasanya dia masih boleh mengirimkan pesanan ringkas kepada Datuk Hairi. Dia yakin tindakan itu tidak melanggar batas susila seorang wanita Islam. Datuk Hairi pasti belum tidur. Mana ada wakil rakyat tidur awal. Dia masih menyimpan nombor telefon bimbit peribadi wakil rakyat itu.
Tahniah, Datuk!
Pesanan yang cukup ringkas. Dia tidak berniat mengirimkan pesanan yang panjang lebar. Itu sudah memadai.
Terima kasih. Tetapi saya tidak bersedia ke arah itu.
Pantas saja Datuk Hairi membalas. Semakin rancak mereka berbalas-balas pesanan.
Ailisya – Itukah yang menyebabkan Datuk teragak-agak berikan kad jemputan itu tadi?
Datuk Hairi – Ya, Ailisya. Saya tidak pasti sama ada saya perlu teruskan ataupun tidak.
Ailisya – Mengapa? Bukankah itu satu perkara yang baik?
Datuk Hairi – Benar. Tapi kami tidak berpeluang mengenali satu sama lain. Dia tidak cinta saya. Kami terpaksa. Keluarga yang atur perkahwinan ini.
Ailisya – Orang dulu-dulu pun macam begitu juga. Tetapi mereka bahagia.
Datuk Hairi – Maksud Ailisya?
Ailisya – Datuk, ada baiknya Datuk teruskan sahaja. Pasti ada hikmahnya. Masa terlalu suntuk jika Datuk ingin menarik diri pada saat-saat akhir ini. Pasti banyak hati yang terluka.
Pesanan daripada Ailisya semakin bertambah ayatnya. Sistem pesanan ringkas sudah tidak ringkas lagi. Ayatnya panjang berjela. Dia perlu memberi keyakinan kepada Datuk Hairi bahawa tindakan yang dilakukannya itu tepat.
Datuk Hairi – Saya bimbang, Ailisya.
Ailisya – Jangan bimbang, Datuk. Yakin pada kekuasaan Allah. Jika Allah menginginkannya berlaku, maka itulah jodoh Datuk. Jika dia bukan jodoh Datuk, Allah akan menghalangnya dengan cara yang wajar, meski hanya sesaat lagi sebelum bernikah.
Datuk Hairi – Terima kasih, Ailisya. Selamat malam.
Ailisya mematikan telefon bimbitnya. Dia bersimpati terhadap Datuk Hairi. Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Siapalah dia. Lagipun kantuk lebih menguasai dirinya pada waktu itu. Dia ingin segera tidur. Siapa tahu, malam itu dia akan bermimpi. Tempat Melinda digantikan olehnya. Dia tergelak sendiri sambil memeluk bantal busuknya. Dia tidak sedar pukul berapa dia terlena.
Masa berlalu begitu pantas. Majlis perkahwinan Datuk Hairi tiba. Keluarga Tan Sri Borhan tidak membenarkan sebarang liputan pada majlis tersebut. Ailisya dan teman-teman wartawan hadir sebagai tetamu sahaja. Pernikahan dan persandingan berlangsung serentak pada malam hari.
“Orang kata, kalau bernikah pada waktu malam, dapat anak berkulit gelap macam aku,” bisik Saila Kapoor, teman Ailisya yang berdarah India.
“Ah, mengarutlah!” Jawab Ailisya sambil ketawa kecil. Tawanya terhenti ketika melihat Datuk Hairi berjalan segak menuju ke ruang nikah. Dia sempat mengerling Ailisya.
“Hadirin-hadirat sekalian, pernikahan ini akan berlangsung sebentar lagi. Diharap para hadirin senyap semasa majlis ini berlangsung.” Suara jurunikah bergema di dalam Grand Ballroom Pan Pasific Mayang Sari.
Majlis pernikahan bermula dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Tiba pula kepada akad nikah.
“Aku nikahkan dikau Hairi bin Syaiful Baqri, dengan Melinda binti Borhan, dengan mas kahwin seratus sebelas ringgit Malaysia. Tunai.”
“Aku terima nikahnya, Melinda binti Borhan dengan mas kahwin seratus sebelas ringgit Malaysia. Tunai.” Datuk Hairi menjawab dengan sekali lafaz.
“Sah?”
Saksi pertama menjawab, sah. Sebelum sempat saksi kedua menjawab, kedengaran suara di pintu masuk.
“Tidak sah!” Jerit seorang pemuda yang tidak kurang tampannya.
“Melinda tidak boleh berkahwin dengan Hairi. Dia sedang hamil anak saya,” jelas pemuda itu.
Semua hadirin terkejut dengan penjelasan itu. Melinda menangis teresak-esak. Puan Sri Murni pengsan di pangkuan Tan Sri Borhan.
“Tidakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!” Jerit Tan Sri Borhan seperti orang hilang akal.
Datuk Hairi yang masih tenang di ruang nikah berkata perlahan, “Ailisya, katamu benar. Inilah ketentuanNya.”
-------------
PENAFIAN: Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Jika terdapat persamaan watak atau tempat, itu hanyalah kebetulan sahaja. – Penulis

6 comments:
Puteri,
Cerpen ker ni? Macam nak suruh Puteri sambung buat novel lak...Hikhikhik....
Lupa lak. Teringin nak baca Novel sulung Puteri, Untuk Terakhir Kali....
Hikhik. Ada gak orang yang sudi baca cerpen saya ye? Tenkiu Danisha :-)
Ha'ah, cerpen je ni. Plan memang nak sambung jadi novel. Tapi novel yg pertama pun tak siap-siap lagi. Camne ni? Hikhik. InsyaAllah, kalau novel tu dah publish, saya bagitau kat Danisha ye.
waaaaaaa bagus bagus
Hikhik. Terima kasih :-) Sudi gak awak bertandang ke laman karya ni :-)
Cik Ezza,
Saya print bawa balik baca kat rumah ok kan.. he he.. lagi suka baca yang hardcopy..
Amboi, siap print lagi ye. Hikhik. Ala, cerpen ni pun biasa-biasa aje. Takdelah mantap seperti penulis-penulis lain. Hikhik. Apapun, saya bersyukur gak sebab cerpen ini siap walaupun tak best.
Post a Comment