(Buat ayahanda tercinta menjelang 13 tahun pemergiannya, pada 19 Oktober 2007)
13 tahun lalu,
seorang anak kecil yang kau tinggalkan,
meratap sayu pada tanah yang masih merah.
Dia belum mengerti akan wewarna takdir,
belum tahu akan penghujung sebuah kehidupan,
juga belum kenal erti ketabahan,
Dia hanyalah anak kecil yang belum mengerti apa-apa.
Baginya,
kau pergi tak akan lama,
kau pasti akan pulang,
dia menanti,
dia setia menunggu,
tanpa jemu.
Terkilankah kau,
sedekad pusaramu sepi,
tiada lagi tapak kaki si anak kecil,
berjejak di tanah yang dahulunya merah itu?
Ke manakah dia?
Lupakah dia padamu?
Tidak!
Anak kecil itu tidak pernah lupa,
doanya ada,
meski kakinya tidak lagi berjejak ke pusaramu.
Dia hilang hanya seketika,
mengubati rajuk pada takdir,
membebat luka di sukma,
mencari diri sendiri,
membina sebuah kehidupan
yang cerah penghujungnya.
Dia berjanji akan kembali,
setelah mampu berdiri,
tanpa perlu bertongkat lagi.
Syawal ini,
nantikan dia ke persinggahan abadimu,
dia ‘kan bertamu seperti yang dijanji,
sudah tiada lagi rajuk di hati,
kerana kini dia mengerti,
kau tak akan pulang,
meski dia menanti seribu tahun lagi.
Anak kecil itu sudah tidak kecil lagi,
dia sudah punya kekuatan,
yang dikutip-kutip
daripada serpihan kenangan yang kau tinggalkan.
Dan, kini dia kembali,
meneruskan perjuanganmu
yang sekian lama tertunda.
Kunak
2 Oktober 2007
(Nota sisipan: Alhamdulillah, aku telah berjaya menyempurnakan janji)
Friday, October 26, 2007
Subscribe to:
Comments (Atom)
